Penyerang skuad kebangsaan Portugal merangkap pemenang Balon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo secara rasminya menjadi milik kelab berpangkalan di Arab Saudi iaitu Al Nassr.
Perkembangan itu hadir selepas pihak kelab berkenaan memuat naik satu hantaran mengucapkan selamat datang berserta foto penyerang yang bakal menjengah usia 38 tahun itu memegang jersi Al Nassr bernombor 7 di pelbagai laman sosialnya, hari ini.
Menurut wartawan bola sepak terkenal, Fabrizio Romano, bekas penyerang Manchester United itu menandatangani kontrak selama dua tahun dan setengah bersama Al Nassr.
Ini akan menyaksikan Ronaldo akan kekal bersama kelab itu sehingga tahun 2025 kelak.
Nilai keseluruhan gaji pula menghampiri €200 juta setahun atau bersamaan sekitar RM947 juta termasuk perjanjian komersil. Difahamkan ianya merupakan gaji terbesar pernah diterima oleh pemain bola sepak.
Untuk pengetahuan semua, Al Nassr pada ketika ini dibimbing oleh Rudi Garcia. Kelab ini turut mempunyai beberapa pemain import ternama yang lain seperti David Ospina, Vincent Aboubakar, Talisca, Luis Gustavo dan lain-lain lagi.
Sebagai tambahan, sekitar penghujung November lalu, Ronaldo dan kelab lamanya, Manchester United mencapai persetujuan bersama untuk berpisah sekaligus menjadikannya sebagai ejen bebas sejak dari saat itu.
Sumber : Flash Sukan