KUALA LUMPUR: Kenaikan harga sayur keluaran tempatan dikesan berlaku di beberapa tempat dan berpunca daripada faktor cuaca, logistik serta peningkatan kos baja dan racun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata isu seperti hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta kawasan tanaman sayur sekitarnya didapati turut menjejaskan rantaian pengedaran, terutama bagi sayur-sayur dari tanah tinggi berkenaan.
“Selain itu, kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum, sekali gus mengakibatkan bekalan berkurangan yang akhirnya telah menyumbang kepada punca kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran.
“Bagi sayur-sayur import pula, harga di negara pengeluar yang telah meningkat dan masalah-masalah pengeluaran yang lain seperti isu kenaikan harga input pertanian dan cuaca di negara pengeluar juga turut memberi kesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Alexander menegaskan kebanyakan harga sayur masih terkawal dan berbeza mengikut lokasi.
“Kenaikan harga sayur seperti dilaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bukan fenomena di seluruh negara.
“Hasil pemeriksaan dan pemantauan dilakukan pihak KPDNHEP di seluruh negara mendapati pembukaan semula semua sektor ekonomi menyebabkan berlaku permintaan yang sangat tinggi secara mendadak terhadap barangan seperti telur, ayam dan juga sayur.
“Peningkatan ini tidak sepadan dengan keupayaan pengeluar barangan itu yang telah mengurangkan kuantiti pengeluaran ketika pandemik akibat permintaan yang berkurangan. Ini sebenarnya bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah ianya merupakan fenomena dunia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan KPDNHEP memandang serius kenyataan CAP terhadap kenaikan harga sayur yang mengelirukan.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat berdasarkan pemantauan di empat pasar awam di Pulau Pinang itu tidak wajar diterbitkan secara umum yang telah menimbulkan persepsi yang tidak tepat serta keresahan dalam kalangan pengguna seolah-olah ianya berlaku secara melata di seluruh negara.
“KPDNHEP sentiasa prihatin dan proaktif terhadap isu kenaikan harga barangan keperluan pengguna seperti telur, ayam dan sayur-sayuran.
“Justeru, kementerian mengalu-alukan sumbangan persatuan pengguna dan institusi penyelidikan dalam isu yang sangat penting kepada rakyat ini.
“Kementerian berharap agar dapatan serta hasil kajian berkenaan harga barang keperluan dapat dibincangkan terlebih dahulu dengan kementerian supaya data-data itu dapat dirujuk-silang dengan data yang dikumpulkan secara harian di lebih 1,500 premis sebelum ia diterbitkan,” katanya.
Alexander berkata, kenyataan Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands sangat optimistik bahawa harga sayur berpotensi untuk kembali stabil apabila pengeluaran dapat ditingkatkan pada tahap normal dengan bantuan cuaca, logistik dan penambahan tenaga buruh di ladang.
Bagaimanapun, katanya sebagai langkah untuk menangani isu ini, KPDNHEP serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menubuhkan Jawatankuasa bersama serta mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dan pemain industri bagi mendapatkan pandangan serta cadangan berhubung isu ini.
“Melalui sesi libat urus yang dijalankan, pihak pemain industri yang terkesan telah memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membantu meringankan beban kos operasi, yang telah memberi impak kepada harga barangan di pasaran.
“KPDNHEP dan MAFI juga telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) pada 24 November lalu bagi mendapatkan penyelesaian secepat mungkin bagi menangani masalah ini.
“Hasil perbincangan ini, pihak MOF secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan dan cadangan daripada kedua-dua kementerian dan sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan oleh MOF.
“Mekanisme penyaluran bantuan fiskal kepada pemain industri antara lain bertujuan supaya sebarang peningkatan, yang setakat ini dikesan berlaku hanya di beberapa kawasan dan bersifat terpencil serta mampu ditangani sepenuhnya.
“Peruntukan kewangan yang bakal diberikan kepada pengeluar diunjurkan mampu menyerap lonjakan kos yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh pengguna. Perincian lanjut berhubung usaha ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Alexander turut menjelaskan KPDNHEP boleh mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan mencatut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011.
Sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/ syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi memastikan hak pengguna sentiasa dijaga dan segenap kelompok masyarakat dapat memperoleh bekalan asas pada harga berpatutan, orang ramai dicadang untuk menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Menerusi tinjauan harian meliputi lebih 400 barangan keperluan asas, aplikasi ini berupaya memberi pilihan yang lebih meluas kepada pengguna khususnya dari segi aspek harga.
Sumber: Berita Harian