Kota Bharu: Orang ramai dinasihatkan supaya menangguhkan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun dan sungai susulan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini yang boleh menyebabkan fenomena kepala air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, meskipun kerajaan sudah membenarkan rentas negeri dan kebanyakan tempat rekreasi kini mula menjadi tumpuan orang ramai, namun mereka harus berwaspada bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
Katanya, tidak dinafikan dalam keseronokan beriadah di kawasan sungai dan air terjun, mungkin ada yang mengabaikan keselamatan atau terdedah kepada risiko bahaya fenomena kepala air sehingga boleh meragut nyawa.
“Kebiasaannya fenomena kepala air terjadi di kawasan tinggi dan apabila berlaku hujan ia akan menyebabkan jumlah air sungai meningkat secara mendadak sehingga berlaku limpahan.
“Fenomena kepala air boleh berlaku di kawasan peranginan, kawasan hutan simpan dan kawasan cerun tinggi seperti air terjun dan kejadian semalam yang menyebabkan 50 mangsa terperangkap termasuk bayi adalah satu peringatan bagaimana mereka yang berada di kawasan berkenaan perlu menyedari risiko yang ada,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Zainal berkata, fenomena kepala air berlaku apabila terdapat gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang banyak dan mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama yang lazimnya berpunca daripada hujan lebat.
“Aliran air ini boleh terjadi apabila berlaku hujan yang sangat lebat dan ia berupaya membawa segala sisa seperti kelodak, batu dan kayu balak, selain ia juga akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya
“Antara tanda awal berlaku fenomena kepala air adalah air sungai bertukar keruh dan deras secara tiba-tiba. Dalam situasi seperti ini orang ramai perlu berwaspada untuk segera menyelamatkan diri.
“Dalam masa sama, mereka juga hendaklah mengetahui kawasan berisiko serta mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Katanya, apa yang penting adalah mengetahui risiko awal, seperti jangan beriadah di kawasan air terjun dan kawasan peranginan ketika hujan lebat.
Sumber: My Metro