Cuba balik kampung naik bas – dua lelaki di kompaun RM1,000 seorang.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BENTONG – Dua lelaki terpaksa membayar ‘tambang’ balik kampung yang mahal apabila masing-masing dikompaun sebanyak RM1,000 kerana kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Lelaki berusia 21 dan 29 tahun berkenaan bertindak nekad menaiki sebuah bas untuk balik kampung dari Kuala Lumpur ke Kelantan sempena cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen rentas negeri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Asap di sini hari ini.

“Kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini pasukan pemantau Op Covid-19 telah membuat pemeriksaan mengejut ke atas sebuah pengangkutan awam dari Selangor menuju ke Kelantan di SJR Kampung Asap di Kilometer 12 Jalan Bentong-Raub.

“Seramai 23 penumpang telah diperiksa dan didapati dua warganegara tempatan tidak mempunyai dokumen rentas negeri yang sah daripada polis,” katanya di sini.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Perkara 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Pihak polis akan mempertingkatkan pemeriksaan ke atas pengangkutan awam khususnya bas ekspres kerana didapati digunakan oleh mereka yang nekad merentas negeri tanpa ada kebenaran polis,” ujarnya

Sumber : Pahang Media