Cubaan Bawa Dadah Bernilai RM 152,792 Guna Lori Makanan Sejuk Beku Gagal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN, 25 JANUARI 2021 : Cubaan mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa dadah bernilai RM152,792 menggunakan lori makanan sejuk beku berjaya dipatahkan pihak polis Pahang.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata kedua-dua lelaki berusia 35 tahun dan 39 tahun berkenaan ditahan dalam sebuah sekatan jalan raya di Bentong, Rabu lepas.

“Pada Rabu lepas kira-kira 8.35 pagi, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang dan daerah Bentong telah menahan sebuah lori yang dinaiki oleh kedua-dua suspek.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan bersama pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas dalam satu sekatan jalan raya di Bentong pada Rabu lalu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan, hari ini.

“Dalam operasi ini, kita telah merampas dadah jenis syabu seberat 2,095.63 gram dan heroin seberat 4,592.26 gram dipercayai untuk pasaran di Genting Highland,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan dadah berkenaan dipercayai boleh dibekalkan kepada 13,368 pengguna dadah.

“Kita mendapati dadah berkenaan disorokkan ditempat simpanan barang di bahagian belakang lori di dalam satu beg kain.

“Siasatan lanjut membawa kita kepada sebuah kereta jenis Produa Myvi di Lembah Klang dengan nilai sitaan dianggarkan RM30,000.

“Kita percaya sindeket ini bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah jenis syabu dan heroin di sekitar daerah Bentong dan Lembah Klang sejak tiga bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata saringan awal pihak polis mendapati salah seorang suspek berusia 39 tahun yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi yang berusia 35 tahun mempunyai dua rekod lampau bagi kesalahan dadah.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 27 Januari ini.

“Dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menbawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Sumber: Pahang Media