TUMPAT – Sebanyak 24,800 liter minyak diesel ditemukan dalam tujuh bot nelayan dipercayai untuk dijual kepada nelayan asing di perairan Sungai Geting, Kuala Takbhai di Tumpat, malam Ahad lalu.
Semua minyak diesel itu disorok ke dalam tong menyimpan ikan yang diubahsuai menjadi tangki tambahan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, rampasan dilakukan oleh pihaknya bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada jam 7.30 malam.
“Sebanyak tujuh bot nelayan kelas A melalui Markas Operasi PPM dan pihak kami bertindak menahan kesemua bot itu untuk dilakukan pemeriksaan.
“Semua tujuh krew kapal dan warga tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an mengakui membawa minyak diesel itu secara tidak sah untuk dijual kepada bot nelayan warga asing di perairan negara,” katanya ketika sidang media di Tumpat.
Di samping itu, Azanizam Affendi berkata, nilai keseluruhan minyak diesel tersebut dianggarkan RM45,871, manakala tujuh bot yang disita pula bernilai RM1.3 juta.
Beliau berkata, daripada keterangan awal yang diperoleh, aktiviti jualan minyak diesel di perairan negara itu dijalankan satu hingga dua kali sehari namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut sejak bila ia dilakukan.
“Kita percaya kegiatan ini dijalankan adalah untuk mendapatkan wang dengan cara mudah kerana harga jualan di negara jiran lebih tinggi dan untuk rampasan kali ini, jika berjaya lolos, mereka akan mendapat pulangan mencecah RM70,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu serta RM2 juta untuk perbadanan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 440 liter minyak petrol dan 799 kilogram minyak masak dengan anggaran nilai masing-masing sebanyak RM902 dan RM1,997.50 dirampas dalam dua rampasan.
Azanizam Affendi berkata, kedua barangan itu dipercayai untuk diseludup ke Thailand dan rampasan dibuat di Kampung Bunohan serta Simpangan dalam operasi yang dijalankan KPDNHEP bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) pada jam 8 malam dan 12 tengah malam.
“Dua jenis barangan itu ditemukan dalam dua kenderaan jenis Proton Wira manakala pemandunya berjaya melarikan diri dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO