Cubaan Seludup Burung Murai RM541,000 Dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup burung murai bernilai kira-kira RM541,000 dari negara jiran dalam rampasan di Kampung Jubakar di sini.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA 8), Deputi Superintendan K Ramesh, berkata rampasan dibuat jam 4 petang kelmarin selepas anggotanya menahan kereta jenis Chery Eastar dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan anggota menemui 32 bakul plastik mengandungi 541 burung murai batu dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok.

“Hasil soal siasat, semua burung itu akan dibawa ke utara untuk pasaran di sana. Semua barangan dirampas, termasuk pemandu beralamat di Grik, Perak ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, semua burung berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1) (A) Akta Perhilitan 1972.

Katanya, dalam penugasan PGA sempena Op Wawasan bermula 26 Mei lalu, sebanyak sembilan kes direkodkan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2 juta.

“Sebanyak 12 tangkapan dilakukan dan tujuh kenderaan turut dirampas.”

“Kita akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin serta jenayah rentas sempadan,” tambah beliau.

Sumber: BERITA HARIAN