Cubaan seludup tiga tan daun ketum tersekat di SJR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jeli: Lebih tiga tan daun ketum yang cuba diseludup ke Kelantan dirampas menerusi dua pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang di sini, semalam.

Semua barang larangan dianggarkan bernilai RM31,300 itu ditemui tersorok dalam dua lori yang datang dari arah utara, masing-masing dipandu lelaki 35 tahun dan 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, pemeriksaan pertama pada 1 tengah hari menemukan lori dipandu suspek (35 tahun) bersama kelindan berumur 29 tahun.

“Pergerakan mereka dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas tujuan penghantaran bekalan makanan kucing, namun pemeriksaan di belakang lori menemui 41 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 410 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM4,100.

“Kedua-duanya ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah dengan pemandu mempunyai satu rekod kesalahan lampau serta kelindan ada empat rekod berkait dadah.

“Mereka direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini, hari ini.

Ahmad berkata, rampasan kedua pada 2.05 petang membabitkan sebuah lagi lori yang mengangkut sejumlah kotak makanan ringan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dibuat menemukan 272 bungkusan plastik hitam yang berisi 2,720 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM27,200.

“Pemandu juga gagal mengemukakan dokumen membenarkan dia merentas negeri dan tindakan kompaun RM5,000 dikenakan untuk kesalahan itu.

“Suspek juga direman empat hari untuk siasatan mengikut Sekyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan 45 kompaun dikeluarkan pihaknya atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan bagi tahun ini.

Menurutnya, daripada itu, lima kertas siasatan dibuka untuk kesalahan rentas daerah dan negeri yang kebanyakan pesalah adalah individu dari luar Jeli.

Beliau juga menyifatkan kepatuhan masyarakat daerah ini terhadap SOP mencegah Covid-19 sangat tinggi.

Sumber: My Metro