Curi Hasil Laut Negara, 15 Nelayan Vietnam Ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM1.5 juta.

Bot itu ditahan APMM dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu Op Naga Barat dan Op Khas Kuda Laut pada jarak 100 batu nautika timur laut dari Kuala Terengganu, jam 3 petang kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pemeriksaan mendapati terdapat 15 kru termasuk seorang tekong yang berumur antara 20 hingga 50 tahun di dalam bot berkenaan dengan kesemuanya gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 700 kilogram, 1,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Bot dan kesemua kru yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan atau kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6223657 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN