Cuti perayaan penyumbang Kelantan dapat nombor satu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Peningkatan kes Covid-19 melebihi dua kali ganda di negeri ini dikaitkan dengan perayaan Deepavali yang disambut minggu lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, apa sahaja perayaan yang disambut memang menjurus kepada peningkatan kes namun pihaknya akan melihat secara terperinci perkembangan yang berkaitan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

“Selepas apa-apa perayaan, angka (kes) akan naik dan saya pun akan bermesyuarat esok untuk mendengar laporan terkini apakah punca Kelantan dapat nombor satu semalam.

“Memang semua sudah dapat (suntikan) vaksin tapi yang penting adalah jaga prosedur operasi standard (SOP), kalau lemah dan tak ikut SOP memang boleh berlaku (penularan),” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Negeri Kelantan 2021, di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Semalam, Kelantan merekodkan kes Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 820 kes berbanding 376 pada hari sebelumnya.

Pada masa sama Kelantan mencatatkan kadar vaksinasi lengkap yang rendah iaitu 58.8 peratus, turut mengatasi jangkitan di Selangor, 809 kes.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ahmad turut menyampaikan anugerah Tokoh Aktivis Belia Kelantan kepada Roslan Ismail, 49 dan Tokoh Belia Harapan Sukan, Mohd Hashim Mustapha, 55 yang masing-masing menerima sijil penghargaan, trofi serta wang tunai sebanyak RM5,000.

Menurutnya, penghargaan yang diperkenalkan pada 1988 itu bertujuan untuk mengiktiraf serta memberi penghargaan kepada individu dan pertubuhan belia yang memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan belia di negeri ini.

“Anugerah ini juga meraikan kejayaan belia yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta sumbangan ke arah meningkatkan pembangunan belia,” katanya.

AHMAD menyampaikan anugerah kepada penerima. FOTO Rohana Idris.
AHMAD menyampaikan anugerah kepada penerima. FOTO Rohana Idris.

Sumber: My Metro