SETIU: Terengganu telah bersetuju mengisytiharkan Daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu hasil Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 16 Jun 2021. Turut diisytiharkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri Pertanian Negeri Terengganu yang bertujuan meningkatkan self suffiency level (SSL) pengeluaran makanan di Negeri Terengganu dan menyumbang kepada SSL Kebangsaan.
Pengisytiharan ini adalah faktor penyumbang kepada sasaran meningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah, meningkatkan sektor pertanian kepada 10 peratus daripada jumlah KDNK Negeri serta meningkatkan jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian daripada 42,900 orang kepada 44,000 orang.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata satu jawatankuasa khas turut dibentuk bagi menggerakkan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.
Menurutnya, Jawatankuasa Bertindak Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Setiu dan dianggotai ketua jabatan berkaitan.
“Tugas jawatankuasa ini adalah untuk menyediakan pelan tindakan, mengenal pasti tanah-tanah untuk dimasukkan di dalam program ini dan memproses permohonan melibatkan program Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu.”katanya.
Beliau juga turut berkata, pemilihan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu dibuat atas beberapa faktor antaranya ialah kawasan ini mempunyai kira-kira 3,000 (1,214 hektar) ekar tanah terbiar yang tidak diusahakan bagi menjana pendapatan rakyat.
Disamping itu, Setiu juga turut mempunyai tanah pertanian berskala komersial untuk diusahakan dalam sesuatu kawasan termasuk tanah kerajaan atau tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara untuk kegunaan pertanian.
“Pada ketika ini terdapat 5,200 (2104 hektar) ekar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara yang dikhususkan untuk aktiviti pertanian sama ada penternakan atau tanaman,”katanya.