ANTIBIOTIK adalah sejenis ubat penting yang sering diberikan kepada pesakit oleh doktor bersama ubat-ubatan lain.
Kebiasaannya doktor akan memberi bekalan antibiotik untuk tempoh tertentu namun ada di antara pesakit yang berhenti mengambil ubat itu selepas merasakan dirinya sudah sembuh.
Persoalannya, adakah selamat untuk tidak menghabiskan antibiotik yang diberikan meskipun badan sudah sihat?
Medical News Today melaporkan, antibiotik adalah ubat untuk membantu menghentikan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Ia bekerja dengan melawan bakteria sekaligus mencegah bakteria berkembang di dalam tubuh manusia.
Sekiranya antibiotik tidak dihabiskan ia meningkatkan risiko bakteria menjadi kebal dalam tubuh.
Setiap ubat antibiotik daripada doktor perlu dihabiskan agar proses pemulihan dapat berlaku secara optimum.
Alasan di sebalik mengapa antibiotik perlu dihabiskan turut berkait dengan keberkesanan ubat tersebut. Apabila pengambilan antibiotik dihentikan, kuman belum tentu hilang daripada tubuh.
Ia juga meningkatkan risiko bakteria kebal terhadap antibiotik pada masa akan datang. Akibatnya, bakteria boleh terus hidup dan berkembang di dalam tubuh.
Kesan ketahanan terhadap antibiotik boleh membahayakan termasuk pesakit boleh terkena penyakit lebih parah, proses penyembuhan lebih lambat sehingga sesuatu penyakit sukar sembuh.
Untuk itu, pastikan antibiotik yang diberikan dihabiskan meskipun penyakit dialami sudah pun pulih.
Sumber: mStar