Rantau Panjang: Peniaga dan penduduk di daerah ini sudah membuat persediaan, termasuk menyimpan barang di tempat tinggi berikutan ramalan banjir di beberapa lokasi di negeri ini mulai Jumaat nanti.
Mereka mendakwa pendekatan awal itu diambil bagi mengelak menanggung kerugian teruk sebagaimana sebelum ini.
Peniaga Wan Namat Wan Mahmood, 56, berkata, dia sudah lali berdepan banjir memandangkan setiap tahun sekurang-kurangnya tiga kali berlaku banjir.
“Setakat ini kita sudah bersiap sedia dan kebanyakan barang sudah diletakkan di tempat tinggi. Sejak dilanda banjir teruk pada 2014 sehingga mengalami kerugian puluhan ribu, saya kini mengambil pendekatan awal.
“Sekurang-kurangnya jika banjir kos kerugian lebih kecil sekiranya kita membuat persediaan awal. Selepas ini saya hanya akan memantau paras air Sungai Golok untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Syed Abu Bakar Syed Daud, 60, berkata, segala persediaan sudah dibuat dan kebanyakan barang memang diletakkan di tempat tinggi memandangkan Disember adalah musim tengkujuh.
Dia yang juga penduduk asal di situ berkata, banjir tahun ini lebih teruk berbanding tahun sebelumnya berikutan Thailand membina benteng di Sungai Golok.
“Jika banjir sebelum ini paras air dalam rumah hanya cecah paras 0.5 meter, namun kini disebabkan pembinaan benteng, air mencecah melebihi paras satu meter.
“Sejak awal saya sudah mengangkat barang dan selagi belum memasuki Januari, saya tidak akan menurunkan barang kerana bimbang banjir berulang,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir di beberapa negeri termasuk Kelantan bermula Jumaat dan Sabtu ini.
SUmber: My Metro