‘Dakwa Pemilik Sebabkan Kematian, Jika Ternakan Jadi Punca Nahas Maut’ – Peguam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang peguam kanan menyarankan supaya pemilik ternakan yang membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran hingga menyebabkan kemalangan maut, didakwa menyebabkan kematian kerana kecuaian.

Hasif Hasan berpendapat, sudah tiba masanya pemilik binatang ternakan ditangkap dan dihukum atas kecuaian mereka yang menyebabkan kecederaan dan kematian pengguna jalan raya.

Pada masa sama katanya, pihak berwajib juga perlu melaksanakan undang-undang untuk mengenal pasti binatang ternakan, seperti meletakkan tag pada telinga binatang berkenaan bagi memudahkan mengesan pemilik binatang sekiranya berlaku sebarang kejadian.

“Saban hari kita membaca kes kemalangan jalan raya membabitkan haiwan ternakan yang lepas bebas berkeliaran di jalan raya.

“Apabila berlaku kemalangan, netizen mula berdebat dan menyalahkan tuan binatang ternakan. Kemudian senyap dan tiada penyelesaian. Kemudian, berlaku kemalangan lagi, netizen berdebat semula.

“Bak kata netizen ‘sampai abang jamil mampus’ masih belum selesai. Sedangkan jika binatang mereka dicuri, cepat sekali mereka mengambil tindakan mengaku sebagai pemilik binatang dan membuat laporan polis terhadap pencuri.

“Justeru, pihak berwajib perlu proaktif untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Hasif berkata, pada pandangannya, pemilik binatang ternakan yang dianggap cuai boleh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Kesiksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua dua sekali.

“Sama ada tindakan pemilik binatang ternakan adalah cuai atau sebaliknya, mahkamah akan menentukan.

“Kecuaian pemilik binatang ternakan wajar dihukum dengan undang-undang yang ada,” tegasnya.

Sumber : BERITA HARIAN