Dalam Menuntut Ilmu, Jangan Sehingga Melupakan Adab

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dalam usaha kita untuk menguasai ilmu, seharusnya kita tidak lupa akan satu perkara yang paling penting, iaitu adab.

Ia adalah perkara yang sangat dituntut bahkan perlu diberi keutamaan. Beradab dahulu sebelum berilmu kerana dengan adab, ia boleh memberi kesan ke atas ilmu yang diperoleh.

Saya teringat, guru saya sering berpesan: Jika ilmu itu tinggi, namun adabnya tiada, maka ia adalah perkara yang sia-sia. Kedua-duanya perlu selari.

Mengapa? Kerana dengan adablah yang boleh membantu mengangkat anda setinggi melebihi ilmu yang ada.

Ibnu Sirin berkata: “Mereka (para ulama) dahulu mempelajari petunjuk (adab) sebagaimana mereka menguasai sesuatu ilmu.”

Hari ini, kita dimomokkan dengan pelbagai berita yang kurang enak didengar mengenai perilaku anak-anak pelajar kita.

Ditambah pula dengan situasi semasa, pasti masing-masing faham dan perlu bertoleransi terhadap keadaan ini. Namun, ia tidak menjadi alasan untuk membuang adab itu sewenang-wenangnya.

Sama ada seseorang itu berminat untuk menuntut ilmu mahupun tidak, adab tetap perlu diberi keutamaan kerana ia yang menggambarkan diri anda.

Justeru, jagalah adab sama ada dengan guru, rakan sekelas mahupun sekeliling anda agar ia dapat memberi kesan yang positif buat hidup anda juga.

“Maka, seharusnya (penuntut ilmu) perlu berhati-hati terhadap semua sifat buruk serta akhlak yang keji. Kerana akhlak keji ini adalah pintu segala kejahatan bahkan keseluruhannya.” (Imam Ibn Jam’ah, Siyar A’lam al-Nubala)

Sumber: TZKRH.COM