BARCELONA: Mahkamah di Sepanyol hari ini memerintahkan pertahanan Brazil, Dani Alves ditahan tanpa jaminan selepas ditangkap di Barcelona kerana dakwaan serangan seksual terhadap seorang wanita.
Hakim di Barcelona mengambil tindakan berkenaan selepas menyoal pemain berusia 39 tahun itu bersabit “kejadian berlaku di sebuah kelab malam,” kata mahkamah dalam satu kenyataan.
Sumber yang rapat berkata hakim mengambil tindakan itu – seperti dipohon pendakwa raya – kerana mahkamah mengambil kira ada risiko Alves akan cuba melarikan diri.
Kelabnya di Mexico, Pumas, mengumumkan beberapa jam kemudian mereka memecat pemain itu.
Alves, seorang daripada pemain paling berjaya dalam bola sepak, ditahan awal pagi ini selepas dipanggil ke balai polis di Barcelona dan dihantar untuk berdepan hakim.
Polis Catalonia berkata mereka menerima laporan pada 2 Januari daripada seorang wanita yang mendakwa Alves melakukan serangan seksual.
Dakwaan serangan seksual di Sepanyol membabitkan apa-apa sahaja daripada meraba-raba berbentuk seksual yang tidak diingini hinggalah merogol.
Ketika polis enggan memberi keterangan lanjut berkaitan kes itu, sumber yang rapat memberitahu AFP bahawa Alves didakwa melakukan rogol.
Sumber: BERITA HARIAN