DATO’ AJIS BAWA MISI MEMBANTU MENINGKATKAN TARAF EKONOMI ORANG ASLI

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Merupakan Orang asli dari suku semai yang pertama yang dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sudah pasti menjadikan YH. Dato’ Ajis Sitin berwibawa dan mampu memikul tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar.

Antara kriteria itu jugalah menjadikan beliau terpilih sebagai calon Senator dan perkara berkenaan diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, baru-baru ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang yang bersidang kelmarin telah meluluskan usul mencalonkan dua nama bagi mengisi kekosongan Senator di Dewan Negara.

YH. Dato’ Ajis Sitin

Usul yang dibawa oleh YAB Menteri Besar Pahang itu disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Negeri Pahang.

YH. Dato’ Ajis berkata, beliau menerima berita lantikan ini dengan rasa terharu dan berbangga.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Pahang terutamanya kepada YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

“Kepercayaan dan harapan yg diletakkan oleh YAB Menteri Besar itu akan saya manfaatkan sebaik mungkin bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat Negeri Pahang terutamanya masyarakat Orang Asli di negeri ini” Katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) hari ini.

Katanya lagi, misi utama yang akan dibawanya adalah membantu meningkatkan taraf ekonomi Orang Asli disamping mempergiatkan promosi kepentingan pendidikan kepada mereka.

Beliau yang dilahirkan pada 18 April 1963 di Kuala Lipis, Pahang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1987 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.

Memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam sebagai Jurutera Kerja Jalan (Senggara) di Jabatan Kerja Raya, Negeri Pahang pada tahun 1990 hingga 1997.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bermula tahun 2017 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA pada ada 1 Mei 2018.

Sumber: PAHANGMEDIA