Kota Bharu: “Jika dulu saya hanya memberi sepenuh perhatian mengurus abang long yang sakit namun kini saya perlu membahagikan masa menguruskan ayah yang diserang angin ahmar dan terlantar,” ujar Mohammad Zuasraf Zulkifli, 25.
Menurutnya, dia nekad berhenti kerja di sebuah kilang membuat batu-bata kerana mahu memberikan sepenuh perhatian kepada abang sulungnya, Khairul Anuar, 33, yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Sejak itu saya memikul tanggungjawab untuk mengurus serta menjaga segala keperluan abang long termasuk menyuap makanan, menukar lampin pakai buang serta memandikannya.
“Tugas ini dipikul selepas ibu, Rohati Awang meninggal dunia enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Mokan, Peringat, di sini, tadi.
Anak kelima daripada enam beradik ini berkata, ujian mereka sekeluarga tidak terhenti setakat itu apabila ayahnya, Zulkifli Ismail, 60, yang menghidap penyakit darah tinggi rebah dan diserang angin ahmar pada bahagian kanan badan.
“Ayah kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan. Dia ditempatkan di Rawatan Rapi (ICU) selepas tidak sedarkan diri semalam dua minggu.
“Walaupun dibenarkan pulang ke rumah, namun keadaannya tidak lagi seperti dulu apabila kini hanya terlantar di atas katil. Dalam masa sama, dia perlu diberi minum susu khas melalui saluran tiub yang dipasang di hidung,” katanya.
Menurutnya, dia memerlukan memperuntukkan hampir RM1,000 sebulan untuk membeli keperluan ayahnya termasuk lampin pakai buang dan susu khas berharga RM90 setin yang hanya mampu bertahan untuk tiga hari.
“Sebelum terlantar sakit, ayah mengambil upah menebang pokok dengan pendapatan tidak menentu dan pada masa sama adik-beradik yang lain ada juga membantu namun sekadar termampu.
“Bagi membeli keperluan ayah, saya hanya mengharapkan wang sedekah yang diberikan orang ramai dan dalam masa sama turut bersyukur kerana Abang Long mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan,” katanya.
Bagaimanapun dia bersyukur apabila turut dibantu abang ketiganya, Mohd Afiq Fahmi Zulkifli, 30.
“Setiap hari kami akan bergilir-gilir menjaga keperluan ayah dan tidak akan sesekali mengabaikannya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03-111-02-082275-6 atas nama Mohamad Zuasraf Zulkifli atau boleh menghubunginya di talian 013-5993976
Sumber: My Metro