PARIS – Didier Deschamps akan terus melatih Perancis hingga Piala Dunia 2026 selepas mengumumkan hari ini bahawa dia diberikan sambungan kontrak empat tahun hanya beberapa minggu selepas tewas pada final 2022 berdepan Argentina.
Kontrak Deschamps sebelum ini tamat selepas Piala Dunia Qatar ketika juara bertahan itu tewas kepada pasukan diketuai Lionel Messi, Argentina pada penentuan penalti 18 Disember lalu.
Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet dilaporkan hanya mahu memberikan Deschamps sambungan kontrak dua tahun hingga Kejohanan Eropah 2024 di Jerman tetapi pengendali berusia 54 tahun itu mahu terus kekal hingga Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Pengumuman itu menamatkan perdebatan dan spekulasi bahawa Zinedine Zidane, rakan sepasukan Deschamps yang menang Piala Dunia 1998 bersama Perancis, boleh mengambil alih.
“Saya akan membuat satu pengumuman yang pada saya adalah sesuatu yang memberi penghormatan besar, dan ia adalah presiden mengambil keputusan untuk menyambung (kontrak saya) hingga 2026,” kata Deschamps pada mesyuarat agung FFF.
“Saya berterima kasih kepada presiden kerana sokongan berterusan dan terus yakin terhadap saya,” tambahnya. “Adalah penting buat pasukan Perancis terus berfungsi dengan baik.”
Pembantu Deschamps yang berpengaruh, Guy Stephan juga mengekalkan jawatannya.
Deschamps, yang juga bintang di Marseille, Juventus dan Chelsea ketika kariernya, adalah kapten Perancis apabila pasukan itu menang Piala Dunia 1998 dan bergelar jurulatih pasukan kebangsaan pada 2012.
Sumber : BERITA HARIAN