Detik cemas berdepan ribut 30 minit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Beberapa peniaga makanan mengalami kerugian ribuan ringgit apabila gerai mereka musnah dilanda ribut dalam kejadian di hadapan Masjid Kampung Sireh, di sini, jam 4.30 petang, semalam.

Tinjauan ke lokasi kejadian malam tadi, menunjukkan tiga gerai mengalami kerosakan teruk seperti khemah roboh, meja dan kerusi rosak, selain beberapa almari kaca pecah akibat kejadian berkenaan.

Peniaga, Nur Manto Ariffin, 50, berkata ketika kejadian dia bersama isteri, Nuraini Abd Hamid, 47, dan anak, Muhammad Farith Firdaus, 22, baru sahaja ke gerai bersiap sedia untuk berniaga masakan panas sebelum hujan tiba-tiba turun dengan lebat berserta ribut.

“Ia ribut yang luar biasa kerana dengan sekelip mata sahaja khemah kami seperti hendak diterbangkan angin. Namun, saya sempat memegang kuat sambil dibantu anak kerana tidak berdaya melakukannya seorang diri.

“Hampir 30 minit kami berdepan detik cemas ini, malah cermin kaca tempat menyimpan makanan 

juga jatuh dan pecah, tidak dapat diselamatkan selain saya sempat melihat khemah milik gerai sebelah yang mula dibawa angin ke jalan raya berdekatan.

“Saya mengalami kerugian lebih RM3,000 disebabkan kejadian ini, dan berasa agak terkilan kerana kami baru sahaja mahu memulakan semula perniagaan ketika sekatan penuh pergerakan dilaksanakan,” katanya yang sudah 22 tahun berniaga di gerai masakan panas terbabit.

Deretan gerai berkenaan juga terkesan dalam kejadian kereta meletop yang dilaporkan akhbar pada 21 Mei lalu kerana jaraknya yang hanya 50 meter daripada lokasi kejadian.

Sementara itu, bagi Norihan Aryatul, 42, kejadian dilanda ribut semalam, suatu pengalaman yang menakutkan selain dia hanya mampu melihat khemah serta peralatan lain di gerai miliknya musnah dibawa angin kerana terpaksa ke tempat selamat untuk menyelamatkan diri.

“Ribut ini bukan sekejap seperti biasa, ia berlaku agak lama dengan bunyi guruh dan angin kuat yang menakutkan. Saya hanya mampu beristighfar dan berdoa semoga ianya cepat reda selain risau keselamatan rakan peniaga lain yang masih di bawah khemah untuk menyelamatkan barangan.

“Sedih rasanya apabila berlaku begini kerana semalam, saya baru sahaja membuka gerai selepas ditutup selama dua minggu, namun kini kedai pula musnah. Saya pun sudah kekurangan modal untuk kembali berniaga.

“Bagaimanapun, kami reda dan bersyukur kerana tiada yang cedera namun perlu kuat dan mencari wang untuk membaik pulih gerai ini supaya boleh kembali berniaga seperti biasa,” katanya.

Susulan ribut terbabit juga, beberapa rumah di flat Kampung Sireh berdekatan turut terkesan apabila bumbung rumah mereka dibawa angin sehingga menyebabkan air hujan memasuki dalam kediaman.

Beberapa penghuni terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara mara kerana risau keselamatan diri atau jika berlaku litar pintas yang membahayakan.

Peniaga menunjukkan khemah yang rosak teruk dilanda ribut dalam kejadian di hadapan Masjid Kampung Sireh, di sini, jam 4.30 petang, semalam.