KUANTAN – Biarpun kecewa gagal layak ke Piala AFC, pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan tetap berbangga dengan pencapaian skuad itu pada aksi Liga Super musim ini.
Beliau berkata, ia adalah musim pertama kelab itu dalam saingan Liga Super dan berjaya menamatkan cabaran di kedudukan keempat.
“Pada awalnya kita tidak meletakkan kedudukan setinggi ini dan ia pencapaian yang boleh dibanggakan pasukan dan pengurusan kelab.
“Cuma kecewa kita ada peluang terakhir untuk ke Piala AFC tetapi tewas pada perlawanan terakhir liga.
“Namun, saya tetap gembira kerana dalam aksi liga, kita pasukan yang konsisten dan pemain layak diberikan pujian,” katanya.
Mengulas kekalahan 0-2 kepada Sri Pahang di Stadium Darul Makmur malam tadi, Devan mengakui skuad kendaliannya tidak bermain pada tahap kemampuan sebenar.
Katanya, pada separuh masa pertama skuadnya tidak bermain dengan baik termasuk melepaskan sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menjaringkan gol.
“Saya kecewa keputusan pada perlawanan hari ini (malam tadi), biarpun pemain bermain baik pada babak kedua. Corak permainan tidak seperti yang dipersembahkan sebelum ini atas beberapa faktor iaitu keletihan, padang basah dan bahagian pertahanan yang longgar.
“Namun, saya harap pemain dapat memberikan persembahan yang lebih baik apabila beraksi dalam kempen Piala Malaysia.
“Kita akan cuba yang terbaik seperti yang dipersembahkan dalam liga apabila kita tidak harap berada di kedudukan keempat tetapi berjaya,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN