PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui dia masih antara pemain terkecil di Liga Belgium walaupun susuk fizikalnya sudah jauh berbeza berbanding ketika permulaan dia bersama kelab itu.
Menurutnya, dia perlu terus meningkatkan tahap fizikalnya sekiranya mahu terus bersaing dan menunjukkan kemampuan beraksi bersama kelab Eropah tersebut.
“Bagi saya dengan perubahan fizikal ini untuk kebaikan saya sendiri. Dekat sana (Belgium) badan mereka semua besar. Kalau saya kurus saya kena langgar, jadi perubahan fizikal ini untuk kekuatan diri saya.
“Sekarang ini, saya perlu tingkatkan lagi tahap fizikal saya ini kerana kalau nak diikutkan dekat sana saya masih paling kecil. Jadi saya kena tingkatkan lagi untuk bersaing dengan pemain di Eropah,” katanya.
Luqman Hakim yang sedang menjalani kem latihan skuad Harimau Malaya bermula 22 Mac lalu mencuri tumpuan peminat bola sepak negara yang dapat mengesan corak perubahan fizikal pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu yang semakin tegap berbanding sebelum berkelana ke KV Kortrijk.
“Di sana, saya makan dengan makanan yang terkawal dan disediakan oleh kelab. Saya amalkan memakan daging, ayam, ikan dan sayur. Itu makanan standard selain spageti. Sudah tentu, pemakanan membantu dalam pembentukan fizikal dan kesihatan saya,” katanya.
Luqman Hakim turut mengakui tahap kecergasannya berada pada tahap terbaik selain sedang untuk pulih daripada kecederaan lamanya ketika beraksi bersama KV Kortrijk.
“Dari segi stamina saya berada pada tahap terbaik. Tiada kecederaan, cumanya kecederaan hamstring lama saya masih terasa dan perlukan masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, pemain berusia 19 tahun itu juga tidak pasti sama ada akan dapat bermain bersama skuad kebangsaan dalam saingan Sukan SEA Vietnam pada November ini.
“Untuk Sukan SEA nanti saya tidak tahu macam mana sebab liga baru bermula selama tiga bulan pada ketika itu. Saingan Sukan SEA itu juga bukan dalam kalendar FIFA. Jadi, mungkin FAM kena berbincang dengan pihak pengurusan kelab berkenaan perkara tersebut,” katanya.
SUMBER : Sinar Harian