ALAS Purwo di Banyuwangi, Jawa adalah sebuah Taman Nasional terbesar di Indonesia yang sering mendapat perhatian pengunjung termasuk pelancong dari luar negara.
Di taman negara itu terdapat pelbagai keindahan alam yang masih terpelihara termasuk binatang liar dilindungi oleh kerajaan negara itu.
Bagaimanapun di sebalik keindahan taman negara itu sebagai sebuah destinasi pelancong, ia turut terselit pelbagai kisah misteri yang menjadi bualan penduduk setempat.
Salah satunya adalah misteri Gua Istana yang menjadi tumpuan pengunjung setiap kali ke Alas Purwo dan dianggap antara tempat penuh misteri dan menyeramkan di negara itu.
Malah ia turut mendapat jolokan sebagai ‘kerajaan’ makhluk halus di Tanah Jawa.
Mengikut cerita, pada zaman dahulu gua itu menjadi tempat golongan bangsawan berkumpul untuk menenangkan diri selain bertapa bagi mendalami ilmu ghaib sebagai perlindungan diri.
Golongan bangsawan ini dikatakan menuntut ilmu ghaib daripada jin bagi memastikan kedudukan mereka terjamin dan dilindungi daripada musuh.
Menurut kisahnya, gua itu dijaga oleh dua jin yang bertubuh besar dan makhluk itu masih berada di gua itu sehingga ke hari ini. Ia menambah seram kepada yang mengetahui kisah itu.
Selain Gua Istana, di Alas Purwo juga terdapat gua-gua lain di sekelilingnya seperti Gua Mayangkara, Gua Padepokan, Gua Gajah, Gua Lowo dan Gua Basori yang setiap daripada satunya menyimpan misteri tersendiri.
Masuk tak keluar lagi!
Meskipun Taman Negara Alas Purwo dibuka kepada orang awam, Gua Istana itu diletakkan sebagai kawasan larangan dan sesiapa pun tidak dibenarkan masuk.
Ini kerana terdapat pelbagai kes di mana pengunjung yang menyelinap masuk secara rahsia ke gua itu tidak pernah keluar dengan selamat.
Cerita penduduk setempat, bukan sahaja hilang bahkan jasad mereka tidak pernah ditemui sehingga menyebabkan pihak pengurusan melarang pengunjung mendekati gua itu.
Ada pun orang yang curi-curi masuk keluar dengan selamat, mereka dikatakan akan ditimpa musibah seperti dirasuk dan sakit sehingga meninggal dunia.
Kedegilan segelintir masyarakat yang melanggar peraturan taman negara itu disebabkan terpengaruh mengenai cerita legenda gua itu sebagai tempat menuntut ilmu ghaib.
Malah ramai cuba menyelinap masuk ke gua itu pada bulan Suro atau tahun baharu Jawa yang dikatakan paling sesuai untuk menjalankan ritual dan menuntut ilmu ghaib.
Bagaimanapun kebanyakan daripada mereka tidak pernah dilihat lagi atau keluar dalam keadaan dirasuk dan sakit sehingga tidak mampu berkata-kata mengenai apa yang berlaku kepada mereka sepanjang berada dalam gua tersebut.
Sumber: mStar