JIKA sesiapa yang pernah berkunjung ke Bintan, Kepulauan Riau di Indonesia pasti pernah melihat sebuah kapal persiaran yang dijadikan sebuah hotel.
Doulos Phos The Ship Hotel juga mendapat jolokan sebagai hotel terapung pertama di Indonesia dan sering menjadi pilihan pelancong sebagai tempat menginap jika ke Bintan.
Menariknya kapal persiaran itu sudah pun berusia 105 tahun atau dua tahun lebih ‘muda’ daripada kapal ikonik, Titanic.
Ia dibuat di Newport News Shipbuilding and Dock Company yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 1914.
Mengikut sejarah, sebelum ia ditukar menjadi sebuah hotel, kapal persiaran itu pernah digunakan untuk membawa golongan bangsawan serta barang dagangan.
Ia juga pernah digunakan bagi menghantar bekalan makanan dan ubat-ubatan ketika Perang Dunia Kedua.
Sejarah panjang kapal ini membuatkan nama Doulos Phos dicatatkan dalam Guinness World Records sebagai kapal penumpang tertua di dunia.
Saudagar berasal dari Singapura membeli kapal tersebut pada 2010 sebelum ia dilayarkan ke Bandar Bentan Telani (BBT) di Bintan.
Tidak seperti kapal persiaran lain, Doulos Phos tidak berlayar ke mana-mana dan ditambatkan di kawasan perairan eksklusif Lagoi.
Pengunjung boleh memilih untuk menginap di beberapa jenis bilik disediakan termasuklah Master Mariner Suite dan harganya juga tidak murah – caj bermula RM450 dikenakan.
Hotel dengan 104 bilik ini lengkap dengan kemudahan seperti hotel lain termasuk restoran, kolam renang, bar dan spa.
Malah pengunjung boleh bergambar ala Jack dan Rose dalam filem Titanic.
Sumber: mStar