Didi Automotive kini rakan pengedar motosikal Triumph di Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Triumph Motorcycles melantik Didi Automotive sebagai rakan pengedarnya yang baharu di pasaran Malaysia berkuatkuasa 15 Januari 2023.

Triumph Motorcycles dalam satu kenyataan, berkata syarikat itu dan Didi Automotive akan bekerjasama untuk menguruskan pengimportan, penjualan dan pengedaran motosikal serta pembangunan berterusan jenama Triumph dalam pasaran Malaysia.

“Triumph dan Didi Automotive tidak sabar untuk mengalu-alukan pelanggan sedia ada kami. Kedua-dua kemudahan bilik pameran Triumph baharu yang dirancang di Petaling Jaya dan Pulau Pinang akan menyediakan pelanggan pengalaman jenama terkemuka Triumph, selain menawarkan kemudahan terkini, kakitangan terlatih tinggi, perkhidmatan tahap tertinggi, perkhidmatan selepas jualan dan penjagaan pelanggan.

“Malaysia adalah pasaran penting kepada Triumph yang menjadi sebagai antara lima pasaran motosikal utama di rantau ASEAN.

“Bermula pelancaran, Didi Automotive akan menawarkan rangkaian lengkap motosikal Triumph merentasi keluarga produk klasik moden, Roadster dan Tiger kami kepada pengguna Malaysia; daripada Trident 660 yang mendebarkan hinggalah ke model mengagumkan dengan kapasiti 2.5 liter Rocket 3,” katanya.

Dalam rangkaian motosikal premium Triumph platform 660 baharu, model Trident dan Tiger Sport yang dijangka menjadi antara yang paling popular dalam kalangan pengguna Malaysia.

Dalam masa terdekat, model Triumph berkapasiti lebih kecil yang sedang dibangunkan dengan kerjasama Bajaj Automotive akan diperkenalkan dan bakal menjadikan jenama itu lebih mudah diakses oleh peminat di Malaysia.

“Masa depan yang cemerlang ini juga disahkan oleh rancangan semasa kami untuk memperluaskan kehadiran Triumph di pasaran Malaysia dengan pembukaan enam kedai jenama di seluruh negara,” katanya.

Ketua Pegawai Komersial Triumph Motorcycles Ltd, Paul Stroud, berkata langkah kerjasama dengan Didi Automotive di Malaysia akan membolehkan jenama itu menjadi lebih mudah diakses oleh peminat motosikal.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan lebih ramai peminat dan pelanggan di Malaysia kepada jenama Triumph,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata, kumpulan itu menyatakan komitmen untuk menyampaikan pengalaman gaya hidup pemilikan terbaik untuk pemilik sedia ada dan baharu mengikut piawaian Triumph dengan sentuhan tempatan.

“Di Didi, kami percaya dalam mencipta penyelesaian gaya hidup mobiliti selain daripada menjual dan menyelenggara motosikal. Kami tidak sabar-sabar untuk berhubung dengan anda secara digital dan menjemput anda ke pintu rangkaian baharu kami tidak lama lagi,” katanya.

Selain bakal memasukkan jenama Triumph dalam senarai jenama motosikal edaran Didi Group, kumpulan berkenaan juga adalah pengedar bagi jenama Piaggio, Aprilia, Harley-Davidson, Moto Guzzi dan Royal Enfield di Malaysia.

Sumber: BERITA HARIAN