KEMUNCULAN varian Delta baru-baru ini boleh meningkatkan risiko seseorang dijangkiti Covid-19.
Perkara ini juga menyebabkan kerajaan mempercepatkan vaksinasi kepada masyarakat dalam salah satu usaha mencegah keadaan pandemik semakin buruk.
Sehingga 12 Ogos lalu, lebih 50 peratus jumlah populasi rakyat Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sementara 40.7 peratus atau 9.51 juta individu daripada jumlah populasi dewasa sudah melengkapkan vaksin.
Berdasarkan data yang dikongsikan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), 16.34 juta individu atau 69.8 peratus populasi dewasa pula sudah menerima satu dos suntikan.
Bagi mereka yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19 ini, penerapan SOP kesihatan merupakan perkara yang perlu diteruskan kerana meskipun seseorang sudah divaksin, mereka juga masih terdedah kepada jangkitan wabak itu.
Sekiranya seseorang yang sudah divaksin terkena Covid-19 ia mampu mengurangkan gejala atau tidak bergejala.
Bagaimanapun jika seseorang yang sudah menerima vaksin dijangkiti Covid-19, ia boleh mencegah seseorang daripada menjadi parah berbanding mereka yang belum mendapatkan vaksin.
Profesor Klinikal Temple University School of Pharmacy, Dr Jason Gallagher menjelaskan terdapat dua alasan mengapa seseorang yang sudah divaksin masih terdedah kepada Covid-19.
“Vaksin lebih efektif dalam membendung penyakit berbanding mencegah jangkitan. Jangkitan boleh jadi ringan atau tidak bergejala dan mungkin seseorang tidak merasa apa-apa ketika mengalaminya,” katanya.
Dengan kata lain, Dr Gallagher memberitahu bahawa vaksin bekerja dengan mencegah seseorang menjadi sakit namun tidak melindungi daripada jangkitan.
Cara kerja vaksin adalah mencegah gejala penyakit menjadi kronik atau membuatkan penyakit tersebut seperti tidak berlaku.
Vaksin menurunkan risiko dimasukkan ke hospital sehingga 94 peratus.
Vaksin memberi perlindungan
Pusat Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Amerika Syarikat (CDC) melaporkan risiko individu berusia 65 tahun ke atas yang sudah menerima vaksin lengkap untuk dimasukkan ke hospital disebabkan Covid-19 menurun sehingga 94 peratus.
Manakala bagi yang baharu menerima satu suntikan risiko dimasukkan ke hospitral menurun sehingga 64 peratus.
“Walaupun ada kemungkinan bagi seseorang yang sudah menerima vaksin dijangkiti Covid-19, namun kesan vaksin dapat membantu keadaan pesakit menjadi kronik, dimasukkan ke hospital atau meninggal dunia.
“Sebahagian besar mereka yang sudah menerima vaksin dan dijangkiti Covid-19 biasanya tidak akan mengalami sebarang gejala atau mengalami gejala ringan,” ujarnya.
Kesan perlindungan vaksin terhadap varian Delta
Kemunculan varian Delta diketahui juga telah menurunkan keberkesanan vaksin yang sebelumnya 95 peratus kepada 65 peratus namun ia lebih baik berbanding tidak divaksin.
Dr. Gallagher memberitau satu-satunya cara untuk menghentikan pandemik ini adalah dengan vaksin secara menyeluruh secepatnya.
Ini kerana setiap orang yang belum divaksin merupakan sarang berpotensi untuk virus Covid-19 berkembang dan bermutasi.
Sumber: Mstar Online