Tumpat: Bunyi letupan kecil sehingga cermin hadapan kereta retak pada mulanya disangkakan serpihan batu, tetapi ia rupanya kesan tembakan.
Kejadian itu dialami seorang pegawai penguat kuasa farmasi sebaik pulang dari tempat kerjanya dan meletak kereta di halaman rumahnya di Kampung Kutan, di sini, pada petang Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Azmir Damiri berkata, dalam kejadian 6.30 petang itu, wanita berusia 32 tahun itu mematikan enjin keretanya dan belum keluar dari kenderaan berkenaan.
“Tiba-tiba mangsa terdengar bunyi letupan dan melihat cermin hadapan kereta Nissan Almera miliknya retak.
“Mangsa menyangkakan kejadian itu disebabkan lantunan batu berikutan lokasi rumahnya terletak di tepi jalan utama dan tidak mengendahkannya sebelum keluar dari kereta itu dan masuk ke dalam rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Azmir berkata, keesokan harinya mangsa memandu kereta itu ke bengkel untuk menukar cermin dan diberitahu pekerja bengkel bahawa kesan retak itu bukan disebabkan lantunan batu, tetapi mangsa tetap tidak menjangkakan ia kesan tembakan.
Beliau berkata, pagi Rabu lalu, ibu mangsa terjumpa sebutir peluru di halaman rumah dan mengagak penemuan peluru itu ada kaitan dengan kejadian cermin kereta pecah, Isnin lalu.
“Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu pagi tadi dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dibuat termasuk mengesan suspek serta motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Sumber: My Metro