Ditahan ketika cuba kembali ke negara asal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Tiga pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang dipercayai cuba kembali ke negara asal melalui Thailand ditahan berhampiran sempadan negara di Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 18 hingga 27 tahun itu ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) ketika sedang menyorok di dalam semak pada jam 2.06 pagi.

Superintendan Azhari Nusi
FOTO: Sinar Harian

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata, anggota bertugas ternampak kumpulan Pati berkenaan di dalam semak yang gelap dalam keadaan mencurigakan, sebelum menahan mereka.

“Pemeriksaan ke atas badan mereka namun tidak menemui sebarang barangan yang salah.

“Namun, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri selain tidak mempunyai surat perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhari berkata, pihaknya mengesyaki kesemua Pati itu dipercayai datang daripada luar Kelantan berdasarkan tiket bas yang ditemui pada mereka.

“Mereka dipercayai mahu kembali ke Myanmar melalui Thailand selepas bekerja di dalam negara.

“Kesemua mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sumber: My Metro