Dituntut Menjaga Aurat, Wanita Islam Wajib Fahami Hukum Dan Adab Menyusu Anak di Tempat Awam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seseorang ibu yang menyusukan anak merupakan satu pengalaman terindah bagi seorang ibu. Buat insan yang bergelar ibu, inilah anugerah tidak ternilai yang Allah berikan kerana berlaku ikatan kasih sayang antara ibu dan anak serta hubungan antara mereka lebih erat semasa proses penyusuan.

Menurut Islam, penyusuan anak merupakan suatu perkara yang dianjurkan oleh agama kerana ia menjadi asas kepada kelangsungan hidup seorang anak. Terdapat pensyariatan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”

Baru-baru ini hangat diperkatan mengenai isu seorang ibu yang menyusukan anak di tempat awam dan timbul reaksi negatif berkaitan dengan auratnya daripada masyarakat. Antara isunya ialah berswafoto semasa menyusu dan muat naik di media sosial. Perbuatan seperti ini tidak hanya dilakukan oleh orang bukan Islam, tetapi ada juga orang Islam yang melakukan perbuatan ini walhal ia bertentangan dengan adab penyusuan dalam Islam.

Menutup aurat dalam Islam adalah wajib. Sabda baginda Rasulullah: Maksudnya: “Wahai Asma’, sesungguhnya jika seorang wanita sudah mencapai usia haid (akil baligh) maka tidak patut baginya menampakkan bahagian tubuhnya kecuali ini dan ini (baginda menunjukkan muka dan telapak tangan).” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 4104)

Berdasarkan dalil Al-Quran dan hadis Rasulullah, jelas bahawa wanita hendaklah memelihara aurat mereka dari pandangan orang bukan mahram. Wanita juga dinasihatkan agar tidak membuka ruang fitnah yang boleh menjatuhkan maruah seorang wanita dalam apa juga keadaan.

Namun, sejauh manakah kefahaman masyarakat terutamanya yang bergelar ibu menjaga adab dan aurat ketika menyusukan anak?

Oleh itu, terdapat cara penyelesaian dan adab-adab dalam Islam yang boleh diikuti oleh para wanita terutamanya yang bergelar ibu untuk menyusukan anak. Antara adab-adab tersebut ialah:

1. Cari Tempat Sesuai

Tempat yang selesa dan sesuai penting bagi ibu yang ingin menyusukan anaknya di tempat awam. Jika terdapat ruang khas untuk menyusu contohnya di pusat membeli-belah, maka seorang ibu boleh pergi ke tempat menyusu tersebut.

2. Pakaian Sesuai

Pakaian juga penting untuk memberi keselesaan kepada ibu yang menyusukan anak. Sebaga contoh, seorang ibu perlu pakai pakaian khas untuk menyusu dan bawa kain yang boleh menutupi semasa menyusukan anak seperti nursing cover, penggendong bayi atau kain labuh.

3. Menjaga Aurat Semasa Menyusu

Para ibu hendaklah berusaha untuk menjaga aurat ketika menyusukan anak di tempat awam seperti labuhkan tudung dan menyorok sedikit masa anak mula menyusu supaya lebih sopan dan tidak terdedah aurat kepada orang umum.

4. Membaca “Bismillah”

Sebelum melakukan sesuatu perkara ia mestilah bermula dengan bacaan Bismillah. Sepertimana seorang ibu perlulah membaca “Bismillah” dan doa untuk anak sebelum menyusu.

5. Mulakan Susuan Sebelah Kanan

Adab dalam mengerjakan kebaikan adalah dimulakan dari anggota kanan seperti masuk masjid, berwuduk, makan tangan kanan dan sebagainya.

6. Berzikir Sambil Menyusu

Banyakkan berzikir ketika menyusukan anak. Ini kerana ia akan memberi aura positif pada anak yang menyusu supaya mendapat manfaat penyusuan yang sebaiknya.

Oleh itu, pemahaman dan kesedaran umat Islam berkaitan penyusuan ibu kepada anak di tempat awam amat penting. Islam tidak melarang seseorang ibu menyusukan anak di tempat awam selagi tidak mendedahkan aurat kerana pendedahan aurat adalah haram untuk tontonan umum dan ia merupakan isu yang perlu diambil berat.

Menyusukan anak di tempat awam hukumnya harus dengan syarat aurat seorang ibu menjaga auratnya. Selagi para ibu memenuhi syarat ini dan mengikut adab penyusuan yang betul, maka tiada masalah untuk seorang ibu menyusukan anak di mana pun mereka berada.

Sumber: MSTAR