KOTA BHARU: Walaupun hanya mengambil upah sebagai pemetik kelapa muda, namun ia memberi pulangan lumayan kepada seorang lelaki yang mampu memperoleh pendapatan antara RM100 hingga lebih RM200 sehari.
Mohd Mansor Mat Isa, 27, yang mengambil upah memanjat pokok kelapa sejak 11 tahun lalu berkata, kerja itu juga tidak berat dan hanya mengambil masa selama beberapa jam sehari.
Katanya, untuk mendapatkan antara 300 biji hingga 600 kelapa muda sehari, dia hanya perlu mengambil masa dalam tempoh lima jam sahaja.
“Saya meminati pekerjaan ini kerana ia mudah dan hanya mengambil masa selama beberapa jam sahaja serta masa juga lebih fleksibel.
“Bagi sebiji kelapa muda, saya diberi upah sebanyak 50 sen dan mampu mendapat upah melebihi RM100 sehari. Kerja ini dibuat mengikut permintaan daripada pemilik restoran yang diaturkan oleh majikan saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pantai Pulau Kundor di sini.
Anak ke-12 daripada 18 beradik itu berkata, kemahiran naik pokok kelapa itu adalah minat dan bakat semula jadi, selain melihat ayahnya, Mat Isa Hassan, 65, yang bekerja sebagai pemetik kelapa muda suatu masa dahulu.
Menurutnya, dari situ, dia mula mempelajari kaedah untuk memanjat pokok kelapa dengan betul supaya tidak mendatangkan bahaya terutama terjatuh yang boleh mengakibatkan kecederaan parah atau kematian.
“Saya mula mengambil upah memetik kelapa muda ketika berusia 16 tahun. Saya tidak gentar atau takut berada di tempat tinggi kerana ada pokok ketinggiannya melebihi 10 meter.
“Untuk menghilangkan rasa gementar, saya tanamkan keyakinan dalam diri dan Alhamdulillah, setakat ini, saya boleh melakukan kerja ini dengan lancar, selain tidak pernah jatuh,” katanya.
Bapa kepada seorang anak itu bersyukur kerana mempunyai kemahiran berkenaan bagi memudahkan dia mencari rezeki untuk menyara kehidupan isteri, Nazirah Mohd Yusoff, 22, dan seorang anaknya.
Sementara itu, pembekal kelapa muda, Mohd Zukri Mohd Yusoff, 44, berkata, dia mengupah Mohd Mansor untuk memetik kelapa muda kerana pemuda itu sangat berkemahiran dan sentiasa bersedia untuk bekerja.
Katanya, kecekapan Mohd Mansor tidak boleh dipertikaikan lagi apabila mampu memetik lebih 300 kelapa muda sehari.
“Namun, saya sentiasa memantau dan bersamanya di bawah pokok untuk menurunkan kelapa muda dengan menggunakan tali bagi mengelakkan buah pecah.
“Selain itu, saya juga pernah bekerja sebagai pemetik kelapa muda selama 17 tahun dan tahu selok-belok terutama untuk menjaga keselamatan diri ketika berada di tempat tinggi,” katanya.
Sumber: METRO