KUALA NERUS – Seorang wanita yang juga merupakan seorang doktor di sebuah klinik swasta nyaris maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam jatuh ke pesisir Pantai Kolam dari tebing jalan di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an tersebut terselamat walaupun kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk akibat terjatuh pada ketinggian hampir lima meter.
Rakan mangsa, Mohd. Azwan Jusoh, 38, berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Axia dipandu wanita tersebut dari arah Kampung Mengabang Telipot di sini terjatuh dari tebing tersebut selepas melalui selekoh tajam di lokasi kejadian.
“Saya dihubungi suami mangsa memohon pertolongan saya membantu isterinya yang mengalami kemalangan pada pukul 4.50 pagi.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, hati saya berdebar apabila lokasi kemalangan dikerumuni ramai anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohd. Azwan berkata, dia lega apabila melihat isteri kawannya terselamat meskipun kereta yang dipandunya remuk teruk dan dipukul ombak di pesisir pantai.
Tambahnya, walaupun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mangsa mengalami trauma dan perlu ditenangkan oleh kakaknya sebelum dibawa pulang ke rumah.
Sumber: KOSMO