GEORGETOWN – Ketua jurulatih Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh menyifatkan banyak liku terpaksa ditempuhi sebelum pasukan itu berjaya menundukkan Penang FC, 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Beliau melihat skuad Tok Gajah bermula agak perlahan dan bergelut melakukan hantaran bola namun pertahanan pasukan itu sangat berdisiplin sekali gus membantu pasukan bangkit dan kembali mendapat rentak untuk menjaringkan gol kemenangan buat pasukan.
Beliau berkata, anak buahnya mengharung tiga perlawanan dalam selang masa terlalu singkat dengan beberapa pemain dihantui masalah kesihatan seperti Shahrul Nizam yang menghidap denggi selain ada yang dijangkiti COVID-19 serta influenza.
“Ada pemain import yang tidak dapat dapat bersama pasukan lebih awal misalnya Manuel Hidalgo baru sampai hampir jam 1 pagi semalam (kelmarin) dan Andres Rodriguez yang ada urusan keluarga baru diterbangkan kelmarin (Selasa) manakala Kevin Ingreso tidak dapat diturunkan kerana COVID-19.
“Jadi boleh dikatakan perjalanan kita dari Melaka agak sengsara dan mencabar tapi apa sekalipun saya hormat pemain masih tetap berdisiplin serta beri yang terbaik meskipun dalam keadaan keletihan dan kita semua bangga dengan semangat yang ditunjukkan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Dollah berkata, beliau sendiri berdepan situasi merisaukan apabila dua cucunya terpaksa ditahan di wad kerana Influenza A (H1N1) pagi semalam.
“Dalam perjalanan saya ke sini (Pulau Pinang) menantu juga masuk hospital kerana waktu melahirkan telah tiba dan saya dapat cucu kelima.
“Jadi dengan berita yang agak baik dan juga keadaan merisaukan, kemenangan malam ini (semalam) membuatkan saya lebih ‘release’,” katanya.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui pasukannya melakukan kesilapan termasuk melepaskan gol mudah khususnya di bahagian pertahanan.
“Kecewa memamg kecewa namun pemain nampak menguasai 30 minit pertama dan saya ada melihat kesungguhan mereka menyamakan kedudukan dan bagi saya mereka harus meningkatkan disiplin kerana kita berdepan dengan satu pasukan yang mempunyai jentera serangan yang baik,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN