Dortmund Sambar Sabitzer, Bekas Pemain Pinjaman United

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HAMBURG – Borussia Dortmund mengikat pemain tengah Marcel Sabitzer dari kelab musuh Bundesliga, Bayern Munich menerusi perjanjian selama empat tahun.

Penolong ketua pasukan Austria berusia 29 tahun itu menjalani ujian perubatan dan menandatangani kontrak hingga Jun 2027, umum kelab baharunya.

“Saya tidak sabar menanti untuk menyertai pasukan dan menyarung jersi BVB,” kata Sabitzer dengan kontraknya dilaporkan bernilai 19 juta euro (RM96 juta).

“Rundingan bersama pengurusan Borussia Dortmund amat memberangsangkan dan mereka memberitahu saya mengenai cita-cita besar kelab bagi tahun mendatang.

“Saya mahu memainkan peranan dalam memastikan BVB meraih objektif mereka dan mempunyai alasan untuk meraikan sesuatu yang istimewa bersama penyokong mereka sekali lagi secepat mungkin.”

Selepas memulakan karier profesionalnya di Austria bersama Admira Wacker dan beraksi semusim di Rapid Vienna, Sabitzer menyertai kelab Bundesliga Jerman, RB Leipzig pada tahun 2014.

Selepas semusim beraksi secara pinjaman di Salzburg, dia kemudian menyertai Bayern Munich pada 2021.

Secara keseluruhan, dia beraksi 185 perlawanan Bundesliga dan 32 perlawanan Liga Juara-Juara. Dia tampil 71 kali bersama Austria.

Musim lalu, kelab Bavaria itu meminjamkannya ke kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United pada Februari, beraksi 18 perlawanan dalam semua pertandingan sebelum mengalami kecederaan pada Mei lalu.

Dortmund muncul naib juara Bundesliga musim lalu di belakang Bayern menerusi perbezaan gol selepas diikat 2-2 di laman sendiri oleh Mainz pada hari terakhir musim.

– BERITA HARIAN