Kuala Terengganu: Tindakan pihak tertentu yang menconteng dinding bawah Jambatan Angkat atau Drawbridge yang menjadi ikon pelancongan di Terengganu cukup memalukan.
Contengan berbentuk lukisan dengan tulisan berwarna hitam dan putih di dinding bawah jambatan berkenaan mencemar pemandangan di situ.
Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Mohd Nazahar Samsudin berkata, kejadian itu disedari pihaknya kira-kira dua minggu lalu.
“Kita kesal dengan kejadian ini kerana jambatan ikonik ini baharu saja dibuka dan menjadi tarikan pelancongan kepada pengunjung dalam dan luar negara.
“Memang ada pengawal keselamatan yang bertugas dan pengawal akan turun membuat pemantauan di bawah jambatan setiap dua jam.
“Mungkin kejadian ini berlaku ketika ketiadaan pengawal yang bertugas dan diharapkan kejadian sebegini tidak lagi berulang bagi menjaga kebersihan dan kecantikan Drawbridge ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jambatan ikonik yang bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding hanya tiga sebelum ini, iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
Ia mula dibuka kepada orang awam mulai jam 6 pagi pada 1 Ogos 2019 dan menjadi jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter serta mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat.
Sumber: My Metro