Dron pantau PKPD Kluster Huma

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH: Polis Kelantan akan menggunakan dron bagi memantau pelajar dan warga Madrasah Ad-Diniah Al Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata penggunaan dron itu bagi memperkuatkan kawalan di kawasan itu yang kini dipantau 24 jam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Selain lokaliti madrasah yang mempunyai lebih 100 pelajar, penduduk kampung di kawasan sekitar juga terdedah kepada risiko jangkitan sebab datang solat dan bergaul dengan mereka,” katanya ketika membuat tinjauan di madrasah berkenaan, hari ini. 

Beliau berkata, dianggarkan 200 hingga 300 orang berada di lokaliti berkenaan.

Katanya, setakat ini pihaknya membuat tiga sekatan polis di kawasan kampung berkenaan. 

“Kita juga akan memasang kawad duri jika diperlukan bagi memastikan pergerakan orang di sini mematuhi operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata, sehingga kini semua pelajar dan pengajar madrasah sudah menjalani ujian calitan dan masih menunggu keputusannya.

“Setakat ini 72 pelajar sudah disaring manakala, 55 pelajar dibawa keluar untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. 

Sehingga kini, sebanyak 55 kes positif COVID-19 direkodkan di madrasah itu membabitkan remaja dan warga emas dalam Klauster Huma.

Sumber: BH Online