Dua Beradik Diserang Perompak Berparang Ketika Jaga Kedai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Dua beradik mengalami kecederaan dipercayai dilibas menggunakan parang ketika menjaga kedai di Kampung Periok, Cabang Empat di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi yang melibatkan warga Pakistan itu, salah seorang daripada mereka mengalami cedera parah pada lengan kiri manakala seorang lagi hanya luka ringan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah didatangi oleh dua suspek yang telah menutup muka serta bersenjatakan parang ingin melakukan samun di kedai terbabit.

“Seterusnya mangsa telah bertindak melawan kedua-dua suspek sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan akibat dilibas menggunakan parang.

“Mereka telah dihantar ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati suspek menaiki kereta jenis Proton Saga BLM semasa melakukan perbuatan tersebut.

Ujarnya, pihak polis sedang mengesan kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut dan kes disiasata bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar menghubungi Bilik Gerakan IPD Tumpat ditalian 09-7257222,” katanya.

– SINAR HARIAN