Dua beradik lakar kejayaan bidang penulisan novel dan hartanah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kejayaan dua wanita, Dr Wan Iman Wan Mohd Nazi, 34, yang merupakan penulis novel terkenal tanah air dan adiknya, Wan Taqwa, 33, dalam perniagaan hartanah serta perladangan yang berjaya, boleh menjadi inspirasi kepada golongan muda yang lain.

Kegigihan anak ketiga dan keempat daripada lapan beradik tersebut memburu kejayaan dalam bidang akademik dan kerjaya turut dipengaruhi oleh ‘semangat kental’ bapa saudara mereka, pengayuh basikal tertua di Malaysia, Wan Hashim Wan Mahmood.

Bagi novelis Wan Iman, bakatnya dalam bidang penulisan berputik sejak remaja dan walaupun sibuk dengan pengajiannya sebagai pelajar kejuruteraan dan saintis di United Kingdom, minatnya dalam penulisan tidak pernah padam dan hasil pengalaman selama 10 tahun menetap di luar negara, diluahkan dalam penghasilan novel.

Menggunakan nama pena ‘Dr Evelyn Rose’ beliau telah berjaya menghasilkan tiga novel Bestseller iaitu The Wedding Breaker, 13 Jam A380 dan Suamiku Si Mata Biru, yang mendapat jualan tertinggi di MPH dan Popular Bookstores. Novel terbaru beliau berjudul, Untukmu Cinta dipasarkan sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu selepas beliau pulang menetap di negara ini.

“Novel pertama, The Wedding Breaker dihasilkan pada 2012 dengan sambutan hangat, kemudian ia menarik perhatian produser, Datuk Ziela Jalil yang mengadaptasikan kisah novel itu kepada drama bersiri ‘Ariana Rose’ yang ditayangkan pada 30 Dis 2013 hingga 13 Feb 2014 di TV3, lakonan Fathia Latif dan Keith Foo sebagai watak utama,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Lestari dari Universiti Newcastle, UK, kini bergelar pengarah di syarikat kejuruteraan, Green Castle Innovation Sdn Bhd dan syarikat nutrisi makanan, Woodland Nutrition Sdn Bhd, berkata minatnya mengarang turut mendapat sokongan daripada suaminya, James, 34, yang mengusahakan syarikat penerbitan di Malaysia dan UK.

Mengulas lanjut, Wan Iman berkata sebelum novel pertama tersebut ditayangkan di televisyen, ia hanya terjual sebanyak 86,000 naskah namun selepas drama Ariana Rose disiarkan, jualannya terus meningkat kepada 160,000 unit.

“Dua novel lagi iaitu 13 Jam A380 diterbitkan pada 2013 dan bakal diadaptasi ke drama atau filem oleh Infinitius Film Malaysia setelah memenangi Anugerah Penulis Novel Terbaik daripada Anugerah Buku Negara dan tempat kedua Anugerah Pembaca Popular-BH 2014.

“Suamiku Si Mata Biru pula mendapat tempat di hati peminat pada 2017 dan dicalonkan sebagai Anugerah Pilihan Pembaca Popular-BH 2018, peminat juga mahu saya keluarkan siri kedua novel ini berikutan pembaca belum puas membacanya dan menganggap kisah itu masih tergantung,” katanya.

Wan Iman berkata bagi novel keempatnya ‘Untukmu Cinta’, beliau menumpukan platform perniagaan dalam talian kerana pelaksanaan PKP, namun karyanya tetap menjadi pilihan di kedai-kedai buku seperti SMO Book Stores, Popular Bookstores dan Kinokuniya.

Memulakan usaha penulisan pada 2012 sebagai hobi di hujung minggu semasa bekerja sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) di Putrajaya, beliau memilih nama pena ‘Evelyn Rose’ kerana sukakan keharuman bunga ros itu dengan kelopaknya yang lebar. 

“Setiap novel memakan masa bertahun-tahun lamanya untuk disiapkan kerana saya komited menuntut ilmu di UK dan ketika bertugas sebagai PTD,” katanya.

Mengenai kejayaan Wan Taqwa yang mempunyai Ijazah Perbankan Antarabangsa dari Universiti Malaysia Sabah, siapa sangka wanita muda ini hebat dalam jual beli hartanah dan menguruskan ratusan ekar ladang pertanian. 

“Bidang ini didominasikan oleh lelaki dan pada mulanya saya akui tugas ini bukan mudah kerana kebanyakan urusan hanya saya seorang sahaja perempuan dan saya juga perlu menguruskan pekerja yang rata-ratanya adalah lelaki. Namun lama-kelamaan ia menjadi biasa dan sebenarnya wanita boleh buat kerja hartanah, perladangan dan perhutanan.

“Sejak 2013, saya banyak menjalankan pelbagai jenis perniagaan untuk kepelbagaian sumber pendapatan dan paling mencabar keluar masuk ke tempat lasak seperti ladang dan hutan iaitu berkaitan herba serta urusan hartanah di seluruh Malaysia, segalanya dilakukan demi minat dan halangan yang ada mampu diatasi. 

“Selain itu, sejak lima tahun lalu, saya juga berkecimpung dalam kerja-kerja membekalkan makanan dan masakan untuk jabatan kerajaan di sekolah-sekolah asrama di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di samping membekalkan air minuman bertapis kepada badan kerajaan dan organisasi lain di Kelantan,” katanya.

Sumber :BERNAMA