Dua beranak pengedar dadah ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis Pahang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi dua beranak apabila berjaya menahan mereka dalam serbuan di stesen minyak di jalan Bentong-Karak, Bentong pada 21 Mac lalu.

Kedua-dua suspek berusia 58 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bentong dengan nilai rampasan dadah dan sitaan harta serta wang tunai berjumlah RM660,112.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bertindak atas maklumat awam pada 8.30 malam, pihaknya menahan dua beranak yang ketika itu berada di dalam kereta.

Katanya, pemeriksaan menemukan karung guni berwarna putih yang di dalamnya berisi 10 bungkusan plastik berwarna kehijauan mengandungi syabu 9,327.84 gram dianggar bernilai RM360,000.

“Hasil siasatan lanjut, wang tunai RM40,112 dirampas dan tiga kenderaan termasuk sebuah kenderaan mewah disita menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM660,112,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif tetapi mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya, mereka ditahan reman mengikut Seskyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga 28 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh membekalkan kepada 18,655 penagih. Siasatan juga mendapati sindiket itu memperolehi bekalan dadah jenis syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di Pahang dan bergiat aktif sejak dua bulan lalu.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan,” katanya.

Sumber: My Metro