Dua Daerah Terjejas Banjir Di Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Terengganu menunjukkan peningkatan apabila seramai 204 mangsa dipindahkan hari ini

Semua mangsa daripada 74 keluarga itu ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu tiga di Kuala Nerus, manakala satu di Kuala Terengganu.

Setakat jam 2 petang, Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di Kuala Terengganu menjadi PPS terbaharu diaktifkan dengan jumlah mangsa dan keluarga yang terjejas sedang dikemas kini.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, empat PPS yang dibuka pagi tadi ialah Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana dan SK Bukit Tunggal di Kuala Nerus dan SK Chendering di Kuala Terengganu.

Penipuan pelaburan CCF Trade, EXGCOO 2023, sebabkan kerugian lebih RM8.05 juta

Jumlah mangsa teramai direkodkan di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus membabitkan seramai 124 mangsa daripada 54 keluarga.

Ini diikuti PPS di SK Chendering membabitkan 40 mangsa daripada 13 keluarga, manakala 36 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di PPS di Dewan Flat Batin Perdana.

Keadaan cuaca ketika ini hujan di beberapa tempat dan dijangka jumlah mangsa akan meningkat berikutan proses pemindahan sedang dijalankan.

Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, satu sungai masing-masing direkodkan melebihi paras bahaya, amaran dan waspada.

Setakat jam 3 petang, paras air sungai di Padang Kemunting di Kuala Nerus melepasi paras bahaya dengan bacaan 3.84meter (m) berbanding paras normal 1.5m.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding 3.72m pagi tadi.

Di Setiu, paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok turut melepasi paras amaran dengan bacaan 8.26m berbanding paras normal 5m.

Satu lagi sungai iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu yang mencatatkan bacaan 16.53m pula direkodkan melepas paras waspada.

Ini menunjukkan peningkatan lebih tiga meter, berbanding paras normal 13.3m.

Secara keseluruhan, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan berikutan hujan yang masih melanda.

– BERITA HARIAN