Dua Dari Tujuh Sahabat Lemas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU SELANGOR: Kegembiraan tujuh penuntut sebuah universiti swasta mandi di Sungai Chiling, Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas hari ini.

Difahamkan, dua mangsa itu adalah penuntut lelaki yang masing-masing berusia 21 tahun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan laporan awal, seramai tujuh penuntut hadir ke lokasi itu dipercayai sejak pagi tadi.

“Sebaik tiba, mangsa pertama dibawa naik oleh orang awam dan pihak bomba melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norazam berkata, mangsa kedua pula dijumpai pada jam 12.45 tengah hari oleh anggota bomba yang melakukan pencarian di kawasan kejadian.

Sumber: METRO