Dua Gol Morata Akhiri Rekod Real Madrid

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MADRID – Alvaro Morata meledak dua gol buat Atletico Madrid ketika mereka mencetus kekalahan pertama Real Madrid dalam La Liga musim ini dengan kemenangan 3-1 pada pertembungan jiran tetangga awal pagi tadi.

Juara bertahan Barcelona menghuni tangga teratas liga apabila Los Blancos gagal mempertahankan rekod 100 peratus mereka dengan Antoine Griezmann turut menyumbang gol buat pasukan tangga kelima Atletico di Stadium Metropolitano.

Real Madrid di tangga ketiga, satu mata di belakang Barcelona dan pasukan tangga kedua Girona, selepas mereka gagal menyaingi tahap intensiti Atletico dalam perlawanan menarik itu.

Morata menanduk masuk gol awal dan Griezmann menggandakan pendahuluan Atletico sebelum Toni Kroos membalas buat Madrid dengan rembatan padu sebelum rehat.

Bagaimanapun Morata menanduk masuk sekali lagi pada awal babak kedua dan Madrid tidak menemui cara untuk bangkit berdepan Atletico yang dilabel jurulatih Diego Simeone sebagai persembahan “paling lemah” sepanjang kendaliannya hujung minggu lalu.

“Ia masalah kerapuhan benteng pertahanan, yang tidak kami hadapi dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti kepada wartawan.

“Dalam hanya lebih 45 minit mereka membolosi kami tiga gol, ia bukannya malam yang bagus… pasukan tidak mantap dan pada babak pertama, Atletico menggunakan kesempatan itu.”

Morata mengetuai serangan Atletico dengan baik dan dianugerahkan dengan dua gol.

“Apa yang saya perlukan untuk berasa dihargai dan tahun ini, mungkin saya berasa lebih penting berbanding tahun sebelumnya – saya harap kami terus menang kerana saya benar-benar mahu memenangi kejuaraan bersama Atletico,” kata Morata kepada DAZN.

“Saya amat gembira buat semua penyokong, saya sudah katakan sebelum ini… penyokong akan memainkan peranan penting dan itulah yang berlaku.” – AFP