Kuantan: Pahang akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuantan sebagai persediaan menampung peningkatan jumlah kes wabak berkenaan.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, PKRC itu ialah di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) (KUIPSAS) yang dijangka beroperasi esok.
Beliau berkata, sementara itu persiapan sedang dilakukan di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, di sini.
“KUIPSAS dan Kompleks Sukan UMP akan menjadi PKRC keempat dan kelima dibuka di Pahang.
“Tiga PKRC dibuka seebelum ini adalah di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuantan dan Institusi Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Bukit Tinggi, Bentong.
“Sebelum ini, KUIPSAS berfungsi sebagai stesen kuarantin dan kini akan diaktifkan sebagai PKRC ketika kumpulan pertama dijangka mendaftar esok.
“PKRC di Kompleks Sukan UMP akan dibuka dalam tempoh terdekat kerana ketika ini persiapan teknikal sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Che Adam berkata, pertambahan PKRC di Pahang bukan bermakna situasi penularan wabak Covid-19 berada di tahap membimbangkan.
Beliau berkata, ia sebagai persediaan awal untuk membendung penularan wabak itu.
Sumber: My Metro