Kuantan: Dua lelaki ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama senapang buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu di Sungai Berakit dalam Hutan Simpan Berkelah, di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, ketika ditahan pihaknya turut menyita kenderaan pacuan empat roda, 10 peluru pistol, 12 peluru penabur pelbagai jenis, empat burung serindit, tali pinggang peluru dan telefon bimbit milik kedua-dua suspek berusia 43 serta 53 tahun itu.
Menurutnya, hasil soal siasat dilakukan, satu serbuan dilakukan pihaknya di sebuah rumah di Maran.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sebungkus daging pelanduk, enam burung serindit dan sebahagian anggota landak, beruk dan lapan utas jerat dawai.
“Suspek dan barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dua individu terbabit sudah biasa dengan kawasan hutan berkenaan.
Katanya, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 individu terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) menyimpan hidupan liar diperlindungi atau Seksyen 29(1)(a) menyimpan apa-apa jerat.
Tambahnya, bagi kesalahan memiliki senapang buatan sendiri dan peluru individu terbabit boleh didakwa mengikut akta senjata api.
Sumber: My Metro