Dua Maut, Motosikal Bertembung Kereta Elak Haiwan Melintas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Dua maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan kereta Perodua Myvi yang mengelak haiwan melintas di Kampung Rahmat, Lubok Stol di sini, jam 12.05 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, berkata Mohamad Ghadafi Mohd Tahir, 30, yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pembonceng, Kamarodeng Chemae, 28, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Kama Azural berkata, kereta yang dipandu lelaki berusia 27 tahun itu dari arah Rantau Panjang ke Jeli, sebelum memasuki laluan bertentangan untuk mengelak haiwan yang melintas secara tiba-tiba.

“Susulan itu, kereta dan motosikal berkenaan bertembung sebelum kedua-duanya terbabas ke dalam gaung berdekatan.

“Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk dibedah siasat.

“Pemandu kereta dan seorang penumpang wanita berusia 26 tahun mengalami kecederaan luaran dan dirawat di zon kuning Hospital hospital yang sama,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kama Azural berkata, siasatan mendapati pemandu kereta yang juga seorang buruh tidak mempunyai lesen memandu.

– BERITA HARIAN