Kuala Krai: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melengkapkan siasatan berhubung kejadian kereta api tidak berhenti di Hentian Kuala Gris yang menyebabkan 100 pelajar tidak dapat ke sekolah, pagi semalam, dalam tempoh dua minggu.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Taha berkata, pihaknya amat kesal dan memandang serius perkara yang berlaku dan satu panel siasatan sudah diwujudkan bagi membuat siasatan lebih terperinci dengan mengambil kira semua aspek.ADVERTISEMENT
Katanya, empat petugas berkenaan iaitu pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket sudah digantung tugas buat sementara waktu, sepanjang tempoh siasatan dijalankan.
Pada masa sama katanya, kakitangan lain yang terbabit dalam insiden semalam turut dipanggil sebagai saksi.
“KTMB menganggap bahawa insiden ini tidak sepatutnya berlaku dan kita akan pastikan beberapa langkah akan diambil bagi memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Bagaimanapun, tindakan yang akan diambil nanti bergantung kepada penilaian panel terhadap kes itu, selain turut mencadangkan kepada pihak pengurusan kereta api untuk apakah tindakan yang perlu diambil dalam menyelesaikan insiden ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, di sini, hari ini.
Turut hadir sama, Ketua Kawalan Operasi KTMB, Afzar Zakariya.
Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, panel siasatan yang diwujudkan dalam insiden berkenaan adalah prosedur biasa bagi membantu menangani sesuatu insiden yang berlaku dalam KTMB, dan kejadian semalam adalah yang pertama kali.
“Dalam insiden semalam, KTMB sekali lagi memohon maaf kepada semua warga Kuala Gris dan pelajar sekolah terutamanya kepada ibu bapa serta pihak SMK Dabong selain penduduk di kawasan sekitar atas kejadian yang berlaku semalam,” katanya.
Media semalam melaporkan, keterujaan 100 pelajar SMK Dabong untuk ke sekolah pada hari pertama penggal ketiga 2021/2022 bertukar sebaliknya, apabila kereta api yang sepatutnya mereka naiki tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, sehingga menyebabkan ada dalam kalangan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.
Situasi itu menyebabkan kesemua pelajar terbabit tidak dapat ke sekolah dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
Sementara itu, tinjauan di Hentian Kuala Gris pada pagi ini mendapati, pelajar tetap menunggu kereta api di hentian berkenaan seawal 6.30 pagi.
Seorang pelajar SMK Dabong, Nur Nabila Abd Rani, 19, berkata, dia menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utama untuk ke sekolah sejak tujuh tahun lalu.
“Insiden yang berlaku semalam adalah pertama kali dan ketika pulang ke rumah, ibu terkejut apabila saya memberitahu kereta api tidak berhenti dan berlalu pergi meskipun ramai pelajar sedang menunggu di hentian itu.
“Bagaimanapun, pada pagi ini, saya bersama dengan adik, Nur Najihah, 17, tetap menunggu kereta api seawal jam 6.30 pagi seperti kebiasaannya kerana ia pengangkutan utama selain menjimatkan masa untuk sampai ke sekolah,” katanya.
Sumber: My Metro