Dua Pelajar Politeknik Lemas Di Air Terjun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dungun: Dua pelajar pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) maut selepas lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Tasik Puteri di Bukit Besi, di sini.

Mayat kedua-dua mangsa, Muhammad Khalili Hasnol dan Muhammad Qamarul Arifin Mohd Ramly, masing-masing berusia 20 tahun ditemui jam 8.38 malam tadi di dasar air terjun dengan kedalaman kira-kira lima meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) kira-kira tiga meter dari lokasi mereka dilaporkan lemas.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, dua mangsa itu berkelah dan mandi-manda di kawasan air terjun terbabit bersama beberapa rakan lain sempena cuti Maulidur Rasul.

Menceritakan kejadian itu, rakan mangsa, Muhammad Fadli Baharudin, 20, berkata kedua-dua mangsa tiba-tiba tenggelam timbul sambil terkapai-kapai kerana lemas.

“Seorang rakan cuba berenang untuk membantu, namun gagal dan terpaksa berpatah balik kerana bimbang mengalami nasib sama.

“Saya dan beberapa rakan kemudian berlari meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian cuba membantu dengan menggunakan pelampung namun gagal sebelum kedua-dua mereka tenggelam.

“Kami semua sedih kerana tidak berjaya membantu, namun bersyukur kedua-duanya dijumpai,” katanya.

– BERITA HARIAN