Kuantan: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam sungai dekat Jeti Kampung Belukar, Jalan Gambang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat yang hanya berseluar pendek paras lutut, ditemukan dua lelaki yang memancing di kawasan itu pada 8 pagi.
“Mereka melaporkan kepada polis dengan seorang daripada pemancing memaklumkan menemui mangsa dalam keadaan terlingkup ketika ingin turun di jeti itu.
“Daripada temubual dengan mereka dan penduduk kampung, masing-masing memaklumkan tidak mengecam mangsa.
“Keadaan mayat juga sudah bengkak. Mayat berada 12 meter dari tebing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan fizikal oleh anggota forensik tidak menemui sebarang unsur jenayah, malah tiada juga pengenalan diri pada mangsa.
Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk untuk tindakan lanjut selain pengesanan identiti.
Sumber: My Metro