Dua PPS dibuka di Kubang Pasu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Alor Setar: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kubang Pasu dibuka sejak malam tadi yang menempatkan 13 mangsa banjir daripada tiga keluarga di daerah itu susulan hujan lebat yang berlaku semalam.

Hujan lebat itu turut menyebabkan berlaku kejadian kepala air di pusat peranginan Bukit Wang sehingga menyebabkan banyak rumah dinaiki air.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, bagaimanapun, jumlah mangsa itu hanya ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, manakala satu PPS lagi iaitu di SK Kampung Tradisi Lembah Keriang masih aktif, namun tiada mangsa ditempatkan di situ.

Beliau berkata, pertambahan PPS itu setakat jam 8 pagi hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah adalah seramai 286 mangsa daripada 76 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di tiga daerah di negeri ini.

“Setakat ini, PPS di daerah Kota Setar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent adalah seramai 51 mangsa daripada 15 keluarga.

“Dua PPS di Pendang masih beroperasi iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah seramai 163 mangsa daripada 41 keluarga dan Dewan Cenderawasih seramai 59 mangsa daripada 20 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sumber: My Metro