Dua Sungai Di Kelantan Melebihi Paras Bahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Dua sungai di Kelantan iaitu di Tanah Merah dan Machang melebihi paras bahaya sekitar jam 8 pagi tadi, dengan kedua-duanya masih menunjukkan pola meningkat.

Kemas kini terkini di portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), merekodkan bacaan Sungai Kampung Temangan di Machang, pada paras 19.25 meter (m), melebihi paras bahaya 17.5m sekitar jam 8.45 pagi.

Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob di Tanah Merah merekodkan bacaan 23.83m, melebihi paras bahaya 23.5m pada jam 8 pagi.

Sejumlah sembilan sungai di beberapa negeri pula sudah melebihi paras amaran, iaitu dua di Kelantan, dua di Pahang, empat di Terengganu dan satu di Melaka, dengan lima daripadanya mencatat pola menaik.

Dua sungai di Kelantan adalah Sungai Kelantan di Kuala Krai yang mencatat 24.58m melebihi paras amaran 22.5m, serta di Tanah Merah yang mencatat 14.25m melebihi paras amaran 14m. Kedua-duanya menunjukkan trend meningkat.

Di Pahang, Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut mencatat bacaan 56.36m dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran pada bacaan 27.42m, kedua-duanya melebihi paras amaran dan masih teruk menaik setakat jam 8.45 pagi.

Empat sungai di Terengganu pula ialah Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja (36.78m) serta di Kuala Jengai, Dungun (20.65m) yang mencatat pola meningkat, manakala dua lagi iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (34.68m) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu (20.24m) sedang dalam pola menurun.

Satu lagi sungai yang melebihi paras amaran adalah Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah yang mencatat 1.85m, melebihi paras amaran 1.72m dengan pola menurun.

Sementara itu, 23 sungai di Kelantan (lima), Pahang (lima), Johor (lima), Terengganu (enam) dan Sarawak (dua) mencatat bacaan melebihi paras waspada, dengan 13 daripada dalam pola menaik.

Sumber: Berita Harian