Dua Sungai di Pahang Lepasi Paras Bahaya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Dua sungai di Pahang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat jam 9 pagi, hari ini.

Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan masing-masing di daerah Bera dan Raub.

Sungai terbabit ialah Sungai Triang yang merekodkan bacaan 34.78 meter (m) berbanding 34.50m dan Sungai Lipis di Batu Malim, Raub merekodkan bacaan 115.12m berbanding 114.80m yang ditetapkan bagi paras bahaya.

Empat sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan SungaiBelat di Sri Damai, di sini.

Empat sungai lagi merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis dan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub.

Selain itu, Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini.

Sementara itu, hujan lebat sejak malam tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir, hari ini.

Tinjauan di Kampung Gudang Rasau, di sini pagi ini mendapati air naik sedalam kira-kira 0.5 tetapi belum ada penduduk yang berpindah.

Kedudukan kampung berkenaan yang terletak berhampiran Sungai Belat menyebabkan kawasan itu mula dinaiki air.

Sehubungan itu, penduduk dinasihat bersiap sedia sekiranya air semakin meningkat untuk memastikan keselamatan.

Sumber : BERITA HARIAN